Apa Apa Sahaja

Thursday, 10 August 2017

Kenal; belum tentu kenal

MAKRIFAH BELUM TENTU KENAL, KENAL BELUM TENTU MAKRIFAH
Kita sering mendengar hal-hal stereotype tentang makrifah. Barangkali engkau sendiri pernah mengalami atau barangkali ada sahabat engkau yang ‘berasa’ sudah makrifah, akan terasa sering mengalirkan air mata, akan sering rasa syahdu-syahdan, selalu rasa merinding di saat melihat alam, gementar di saat membaca ayat-ayat tertentu dan sebagainya. Soalnya, apakah ini tanda-tanda makrifah ?

Seperti cinta, definasi makrifah itu sangat luas. Definasi Makrifah atau Kenal Sekenal-Kenalnya itu akan jadi terbatas jika engkau mengatakan engkau telah makrifah. Ya, engkau mungkin akan sentiasa menitiskan air mata, perasaan engkau mungkin sensitif dan engkau sering syahdu-syahdan bila telah KENAL, namun kenal engkau itu menjadi terbatas terhadap apa yang AKAL engkau kenal sahaja. Tanda sebegitu mungkin boleh berlaku kepada engkau tetapi ia  tidak semestinya berlaku kepada semua orang.

Engkau mungkin mengatakan engkau sudah ‘makrifatullah’, namun definasi KENAL ALLAH engkau itu sudah menjadi terbatas. Kenapa ? Kerana Tuhan Allah yang engkau kenal itu diperkatakan oleh AKAL engkau sahaja. Jika AKAL yang mengenal Tuhan, itu bukan Tuhan, itu hal Ketuhanan !

MAKRIFAH COPAS MENCOPAS

Bangunlah dari dogma-dogma yang stereotype. Makrifah bukan sekadar hal copy paste, cedok mencedok dan copas mencopas maklumat dari seorang kepada seorang yang lain kemudian engkau rasa seronok bila ada orang memuji dan berterima kasih akan maklumat yang engkau copas. Engkau rasa bahagia seolah-olah engkau telah menunjuk dan kongsikan jalan kebenaran kepada mereka melalui maklumat yang engkau copas. Makrifah melangkaui apa yang engkau dan aku kongsikan. Makrifah melangkaui apa yang engkau baca di sini.

TANDA MENGENAL

Orang yang mengenal Diri batin dan Diri zahirnya akan sentiasa berada dalam keadaan REALITI. Engkau akan SEDAR apa itu Benar-Salah, Baik-Buruk, Negatif-Positif. Bila engkau SEDAR, engkau akan sentiasa melalui kehidupan ini dengan KETIDAKSEDARAN.

Hal buruk, hal salah, hal negatif adalah fitrah kehidupan yang sentiasa ada. Ini adalah sunatullah yang engkau tidak dapat elakkan. Namun, bila engkau sering SEDAR makanya engkau akan sentiasa berada dalam keadaan KETIDAKSEDARAN. Hal ketidaksedaran inilah yang membuatkan engkau berasa ‘terlupa’ terhadap hal buruk yang berlaku kepada engkau. Bila engkau ‘terlupa’ hal buruk yang menimpa engkau, maka lupa kepada sesuatu inilah alam SYURGA bagi engkau !

Engkau akan lupa hal buruk yang menimpa engkau bila engkau SEDAR akan setiap apa yang engkau lakukan. Setiap persepsi dan tindakan engkau yang sentiasa SEDAR itu akan membuatkan engkau berada dalam keadaan KETIDAKSEDARAN. Ketidaksedaran membuatkan engkau leka melalui hal buruk yang menimpa, tanpa engkau SEDAR ianya adalah sesuatu kejadian buruk.

Segalanya berlaku serentak. Simultaneously !

MAKRIFAHKAN DIRI SENDIRI

Orang makrifah, tidak akan dapat memakrifahkan engkau dengan ajarannya jika engkau sendiri tidak memakrifahkan diri engkau sendiri. Mereka mungkin boleh berkongsi dan menunjukkan engkau jalan makrifah, namun engkau tetap tidak ke mana-mana jika engkau tidak melalui sendiri jalan itu. Engkau tetap berada dalam kebodohan jika engkau sendiri terus memperbodohkan dirimu dengan menerima semberono akan apa yang mereka sampaikan.

Makanya...
Kenal dan Makrifahlah !

No comments:

Post a Comment