Monday, 24 July 2017

CAHAYA

PENGENALAN NUR (CAHAYA)

Nur atau cahaya itu ialah sesuatu yang menyebabkan kita nampak dengan jelas akan sesuatu. Baik dengan mata kepala (Nazariah) kita atau mata hati (Basariah). Ia adalah perlu untuk kehidupan manusia terutama dalam kehidupan yang berhubung dengan agama dan penerimaan petunjuk daripada Allah s.w.t.

Hakikat Nur
Nur bermaksud cahaya, lawannya gelap. Selain itu nur juga bererti petunjuk atau hidayah. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran. Di dalam Al-Quran, terdapat 43 perkataan An-Nur yang membawa pelbagai makna. Antaranya :

Petunjuk dan Keimanan
Allah Pelindung bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dan orang orang yang kafir, pelindung mereka adalah Thagut (syaitan) , mengeluarkan mereka daripada Nur petunjuk dan iman kepada kegelapan iaitu kekufuran. - Surah Al-Baqarah ayat 257
Waktu Siang
Maha suci Allah yang menjadikan langit dan bumi dan telah menjadikan kegelapan dan cahaya.- Surah Al-An’am ayat 1

Nabi Muhammad SAW
Telah datang kepada kamu nur iaitu Nabi Muhammad dan kitab yang nyata. Surah Al-Maidah ayat 15

Taurat dan Injil
Dan kami datangkan Injil didalamnya ada petunjuk dan Nur. Dan kami datangkan kepadanya taurat di dalamnya ada petunjuk dan Nur. Surah Al-Maidah ayat 44

PEMBAHASAN AYAT 35 DARI SURAH AN-NUR
Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya adalah seperti sebuah lubang besar yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan bintang yang begemerlapan yang dinyalakan dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tidak tumbuh di sebelah Timur dan tidak pula tumbuh di sebelah Barat. Yang minyaknya sahaja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak di sentuh api. Cahaya di atas cahaya berlapisan, Allah membimbing kepada cahayaNya siapa yang dikehendaki dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu. - Surah An-Nur ayat 35

Kenyataan Pada Ayat
1. Allah, Dialah cahaya langit dan bumi
2. Bandingan nurNya adalah seperti sebuah "Misykaat"
3. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nurNya itu
4. Allah mengemukakan berbagai-bagai perumpamaan untuk umat manusia
5. Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

Perumpamaan Pada Ayat
1. NurNya adalah seperti sebuah Misykat
2. Misykat yang berisi sebuah lampu (Misbah)
3. Lampu itu di dalam kaca (Zujajah)
4. Kaca itu pula jernih terang laksana bintang yang bersinar cemerlang (Kaukabun Durriyun)
5. Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya (Syajarah Mubarakah)
6. Iaitu pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (La Syarqiyyah Wa La Gharbiyyah)
7. Hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya walaupun ia tidak disentuh api (Yakaadu zaituha yudhi- u walau lam tamsashu naar)
8. Cahaya berlapis cahaya (Nur ‘ala Nur)

Tafsiran Ayat
Allah yang empunya cahaya dan dengan cahaya itu penduduk yang ada di langit dan di bumi ini dipimpinNya dan ditunjukiNya dengan bukti-bukti wujud alam semesta dan bukti pengajaran yang dibawa oleh para utusanNya .

Maka dengan cahayaNya itulah manusia akan terpimpin ke jalan yang hak dan terhindar dari kesesatan. Perumpamaan bukti yang dipancarkan keseluruh alam ini ibarat cahaya dari sebuah lampu pelita yang terletak di dalam sebuah lubang dinding, atau pembuluh seperti lampu suluh.
Dan pelita atau lampu itu sifatnya seperti berikut : Pelita yang bercahaya itu berada di dalam sebuah kaca atau gelas yang terang dan bersinar.
Kaca yang menutupi pelita itu seolah-olahnya seperti sebuah bintang yang amat besar daripada jenis bintang-bintang di langit seperti bintang timur (zuhrah)
ataupun bintang musytari.

Pelita itu menyala dengan perantaraan minyak zaitun yang membasahi sumbunya, dari sebatang pohon yang menghasilkan buah zaitun, dan pohon itu dinamakan Syajarah Al-Mubarakah (pohon yang berkat) kerana buah zaitun itu minyaknya mempunyai kegunaan atau faedah yang sangat banyak.

Pohon zaitun itu pula tumbuhnya di lereng-lereng gunung atau di padang-padang pasir yang luas, terdedah di bawah sinaran matahari, tidak terlindung oleh sesuatu apa pun selama terbit matahari itu hingga terbenam. Dan minyak zaitun
itu pula sangat jernih.

Lafaz La Syarqiyyah Wala Gharbiyyah (tidak di timur dan di barat) maksudnya, pohon zaitun itu kebanyakannya tumbuh di negeri-negeri daerah timur tengah seperti Syam (sekarang Syria) dan dia bukanlah negeri timur atau negeri barat.

Oleh kerana minyak zaitun itu terlalu jernih, kelihatanlah dari jauh seolah-olah dia yang menyinarkan cahaya, dan kalau disentuh oleh api, maka akan bertambah-tambah lagi terang cahayanya. Maka inilah yang dinyatakan oleh Allah swt dengan firmannya Nur ‘Ala Nur (Cahaya Atas Cahaya
Dimaksudkan di sini Cahaya Allah itu diumpamakan sebagai petunjuk daripada Al-Quran, dan ia adalah seperti pelita yang terang benderang menerangi umat manusia yang hidupnya di dalam gelap gelita, yakni kejahilan.

Cahaya Al-Quran itulah laksana cahaya lampu, dan lampu itu berada di dalam sebuah kaca atau gelas yang sangat jernih, sedang cahayanya pula seperti cahaya bintang yang berkilau-kilauan di atas 
langit.

Lampu itu dinyalakan oleh minyak zaitun, yang tumbuh pohonnya kebanyakan di negeri yang bukan barat dan bukan timur. Sedang minyaknya sangat jernih pula, sehingga kerana kejernihannya seolah-olahnya bercahaya dengan sendiri maskipun ia tidak disentuh oleh api – ibarat lampu elektrik zaman ini.

Wujudnya tenaga elektrik itu tidaklah ditentukan datangnya dari barat ataupun dari timur. Maka dari elektrik, lampu nyala dengan sendirinya tanpa menggunakan api.

Begitulah dibaratkan hati seorang manusia mukmin itu dapat menerima petunjuk sebelum di didatangi ilmu pengetahuan. Apabila dia didatangi ilmu pengetahuan, semakain mendapat petunjuk pula dan inilah yang diakatakan Cahaya Atas Cahaya.

Bahagian-bahagian pelita itu antara satu sama lain mempunyai hubungan yang
erat dapat mengeluarkan cahaya yang kuat seperti lampu suluh yang terdiri
daripada bahagian-bahagiannya iaitu :
1. Lubang (Misykah) tempat dipasangkan lampu
2. Lampu (Misbah) iaitu balbnya yang akan menyala
3. Kaca atau gelas (Zujajah) yang bersinar-sinar menudungi lampu tersebut
4. Minyaknya (Zaitunah) atau kuasa elektrik yang menerbitkan cahaya, sehingga lampu suluh itu menyala.

Maka keempat-empat bahagian itu kalau sudah bersatu dan menjadi lampu suluh , kuatlah pancaran lampu tersebut. Sudah tentu lampu itu kalau tidak dilekatkan di sebuah lubang bahkan diletakkan di tempat yang terbuka, nescaya lampu itu tidak dapat memberi cahaya yang kuat sebagaimana kalau lampu yang berada di lubang seperti lampu suluh.
Lampu yang berada di dalam lubang (Misykah) itu ibarat menyuluh filem yang ditayangkan di sebuah layar dan kelihatanlah di situ cahayanya yang terang dapat disaksikan oleh orang yang sedang berada dalam kegelapan. Maka orang yang hidup dalam kegelapan itu dapatlah berubah menjadi terang, yakni berilmu pengetahuan.

Allah swt memberikan taufik dan petunjukNya kepada orang-orang yang disukaiNya daripada hamba-hambaNya untuk mendapatkan perkara-perkara yang hak dengan jalan memperhatikan sesuatu perkara itu dan memikirkannya sehingga sampailah kepada matlamat yang ditujunya.
Dan barangsiapa yang tidak mengambil pengajaran atau iktibar, samalah seperti orang yang buta. Dia tidak akan dapat berjalan dengan betul di tengah terang apatah lagi di malam yang gelap.

Berkata Sayyidina Ali ra :
Allah sebagai cahaya yang menerangi langit dan bumi. Dan di sana disebarkanNya kebenaran dan dipancarkan sinaran cahayaNya.
Allah swt membawakan banyak perumpamaan dalam Al-Quran, untuk menjadi pengajaran dan pimpinan kepada manusia, agar mereka terima dengan perasaan puas dan senang hati.
Allah swt lebih mengetahui untuk mengurniakan petunjukNya kepada sesiapa yang layak menerimanya disebabkan mempunyai jiwa yang bersih, dan ada persediaannya untuk mempelajari hukum-hukum agama serta adab-adabnya
yang baik.

Ayat ini mengandungi kegembiraan bagi orang-orang yang mahu mengambil teladan, dan mengandungi ancaman bagi yang tidak mahu memikir dan
memperhatikannya.

Berkata Ibnu Abbas :
Inilah perumpamaan cahaya Allah dan dipertunjukkanNya dalam hati orang-orang mukmin laksana minyak yang jernih, hampir sahaja dia memberi penerangan sebelum lagi di disentuh oleh api. Sekiranya sudah disentuh api, maka akan bertambahlah sinaran cahayanya. Begitulah hati orangorang yang beriman.

Tafsiran Ayat Dari Tafsir As-Silmi (Haqaiq At-Tafsir)
(Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi)
Berkata Ibn Athaillah : Sesungguhnya Allah swt menerangi langit dengan 12 kukusan bintang iaitu kambing biri-biri, lembu, bintang kembar dua, bintang ketam, bintang singa, bintang gadis, bintang neraca, bintang kala, bintang panah, bintang kambing, bintang timba, dan bintang ikan.
Begitu juga Allah swt menghiasi hati orang-orang yang mengetahui (Al-Arifin) dengan 12 perkara iaitu : minda, perhatian, kelapangan, makrifat, keyakinan, kefahaman, pandangan, pemberian hati, pengharapan, keaiban dan kecintaan.

Sekiranya sifat-sifat yang tersebut di atas diterapkan dalam jiwa seseorang muslim dan orang-orang yang mengetahui (Al-Arifin), maka ia akan memperolehi kemanisan ibadah dan berada di bawah cahaya Allah swt

Al-Misykah dimaksudkan dengan rongga Nabi Muhammad saw. Az-Zujajah : hatinya, Al-Misbah : cahaya yang dijadikan Allah swt dalam hatinya. As- Syajarah : Nabi Ibrahim as. Yakni cahaya yang dijadikan Allah wt dalam hatinya sebagaimana yang dijadikan kepada Nabi Muhammad saw.

Berkata Ibn Mas’ud:
Perumpamaan cahaya seorang mukmin adalah seperti Misykah. Al-Misykah dimaksudkan dada seorang mukmin. Al-Misbah ialah cahaya hati seorang mukmin. Az-Zujajah ialah rahsia seorang mukmin.
Al-Wasithi berkata bahawa sesungguhnya menciptakan jiwa yang beriman dan
menamakannya Syajarah Mubarakah (Pokok yang diberkati).
Sahl berpendapat bahawa Nur bermaksud Nur Nabi Muhammad saw.
Sufyan Ath-Thauri berkata Nur itu ialah cahaya Al-Quran.
Hassan Al-Basri berpendapat pula Nur iaitu ialah hati seorang mukmin dan cahaya tauhid. Ini disebabkan hati para nabi itu lebih bercahaya dari cahaya yang disifatkan ini.
Imam Al-Junied berpendapat ayat (Allah pemberi cahaya kepada langit dan bumi) bermaksud Allah swt yang menerangi hati para malaikat sehingga mereka bertasbih dan menyucikanNya. Dan juga menerangi hati-hati para rasul dan juga orang-orang yang beriman hingga mereka mengenali Allah swt dengan sebenar-benar pengenalan dan menyembahNya dengan sebenar-benar penyembahan.
Allah swt mengatakan kepada orang-orang yang beriman : Sesungguhnya Aku menerangi hati-hati kamu dengan petunjuk dan makrifat.

Sebahagian ulama mengatakan sesungguhnya Allah swt menerangi hati dengan cahaya keimanan. Dan hati itu ibarat Misykat (lubang) dan perkara-perkara yang mengotori jiwa itu ibarat Zujajah (kaca) yang tidak akan dimasuki kejahilan dan kesesatan di hati orang-orang yang beriman.
Abu Ali Al-Jurjani pula mengatakan bahawa Allah swt menerangi hati para mukmin dengan cahaya keterangan. Allah swt adalah pemberi cahaya kepada langit dan cahaya itu ibarat keyakinan yang bersinar di hati seorang mukmin. Hati seorang mukmin itu penuh dengan cahaya keimanan, maka cahaya Allah itu dipancarkan dengan penjelasan yang nyata.

Maka seseorang yang beriman itu akan melihat sekelian alam ini dengan cahaya tuhanNya. Maka dengan cahaya itu, ia melihat segala keindahan ciptaan tuhanNya. Ia akan melihat kekuasan Allah swt dan segala kerajaanNya dengan cahaya makrifat. Lalu, Allah swt pula akan membuka baginya cahaya ilmu yang berada di langit yang tujuh dan bumi.

Imam Jaafar Bin Muhammad berpendapat bahawa cahaya itu terbahagi kepada beberapa bahagian. Antara lain cahaya penjagaan hati, cahaya ketakutan, cahaya pengharapan, cahaya kecintaan, cahaya tafakkur, cahaya keyakinan, cahaya peringatan, cahaya ilmu, cahaya perasaan malu, cahaya kemanisan iman, cahaya Islam, cahaya Ihsan, cahaya kenikmatan, cahaya pemberian, cahaya nikmat, cahaya kemurahan hati, cahaya kelembutan, cahaya ketenangan, cahaya kemuliaan, cahaya kekuasaan, cahaya keadilan, cahaya kehaibahan, cahaya yang kekal, cahaya tersendiri, cahaya kesempurnaan dan cahaya azali.

Kesemua cahaya-cahaya ini mempunyai keadaan dan tempatnya masingmasing. Kesemua cahaya ini juga merupakan cahaya Allah swt yang terdapat pada ayat (Allah Pemberi cahaya bagi langit dan bumi). (Allah Cahaya Bagi Langit dan bumi) bererti bagi setiap hamba itu cahaya dari cahaya-cahaya yang disebut di atas. Nasibnya bertambah baik jika ia memperolehi dua daripadanya atau tiga.
Orang yang mendapat kesemua cahaya-cahaya ini ialah Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya baginda bersama Allah swt dengan hakikat pengabdian yang sebenarnya.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa cahaya langit itu adalah para malaikat, manakala cahaya bumi pula adalah para wali-wali Allah. Ada juga yang mengatakan bahawa cahaya di langit adalah menzahirkan haibah dan di bumi pula adalah menzahirkan kekuatan / kemampuan.
Sebahagian para ulama lain pula berpendapat bahawa perumpamaan cahaya
Allah itu di hati orang beriman yang ikhlas.

Imam Hussain berkata bahawa cahaya wahyu terdapat di atas kepala , cahaya munajat terdapat di antara dua mata, cahaya keyakinan di telinga, cahaya keterangan di lidah, cahaya keimanan di hati dan cahaya tasbih di anggota anggota yang lain.
Imam Al-Jurjani berkata bahawa sekelian langit dan bumi itu diterangi dengan cahaya Allah swt dan keterangannya. KeteranganNya itu ialah cahaya keyakinan yang bersinar dalam hati seorang yang beriman.

Sebahagian ulama pula mengatakan bahawa orang yang beriman memiliki lapan cahaya iaitu cahaya ruh, cahaya rahsia, cahaya atas cahaya iaitu cahaya petunjukcahaya ilmu, cahaya taufiq, cahaya pemeliharaan, cahaya sumpah dan cahaya kehidupan.

Ayat (Cahaya Allah itu ibarat Misykat) bermaksud cahaya Allah swt di hati orang yang beriman dan ikhlas seperti Misykat (lubang) iaitu lubuk hatinya. Dan Misbah (lampu) itu cahaya yang dipancarkan dalam hatinya. Zujajah (kaca) itu ibarat Taufiq dan Taufiq itu diperolehi dengan makrifat yang sebenarnya.

Kaca itu ibarat bintang yang begemerlapan seperti cahaya. Makrifat itu bersinar dalam hati orang-orang Arif dengan cahaya Taufiq. Cahaya makrifat itu juga bersinar di hati orang yang beriman dari sebatang pokok yang diberkati dan menyinari seseorang yang diberkati pula sehingga jelas nampak cahaya batin dalam perilakunya yang suci.

Ayat (Hampir-hampir minyaknya itu menerangi walupun tidak disentuh cahaya) bererti hampir-hampir cahaya itu menerangi dari hati orang yang beriman kepda lidahnya sekiranya ia berzikir kepada Allah swt.

Imam Jaafar Bin Muhammad As-Saadiq berpendapat sesungguhnya Allah swt menerangi langit dengan cahaya bintang-bintang, matahari dan bulan. Dan menerangi bumi dengan cahaya tumbuh-tumbhan yang merah, kuning, putih dan sebagainya. Dan menerangi hati orang-orang mukmin dengan cahaya keimanan, keislaman, dan menerangi jalan kepada Allah swt dengan cahaya Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw :
“Para sahabatku adalah ibarat bintang-bintang di langit. Maka apabila kamu mencontohi mereka, maka kamu akan mendapat petunjuk”
Ibn Athaillah berpendapat bahawa lafaz La Syarqiyyah Wal Gharbiyyah (tidak di timur dan tidak dibarat) bermaksud tidak dekat dan tidak jauh. Yakni Allah swt dari dekat dirasakan jauh, dan sebaliknya dari jauh dirasakan dekat.

Imam Jaafar pula berpendapat maksudnya tiada perasaan takut dan tiada pula perasaan pengharapan. Al-Wasithi pula berkata tiada di dunia dan tiada pula di akhirat.
Imam Al-Jurjani pada mentafsirkan ayat Nur ‘Ala Nur Nur (cahaya atas cahaya), beliau mengatakan bahawa Ar-Raja’ (pengharapan) itu ibarat cahaya dan Al- Khauf (ketakutan) itu juga ibarat cahaya. Mahabbah (cinta) itu juga ibarat cahaya. Apabila kesemua sifat-sifat ini bersatu dalam hati orang yang beriman, maka berlaku di sana cahaya atas cahaya. Allah swt akan memberi petunjuk dengan cahayaNya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan yang telah berjaya mencapai cahaya-cahaya ini dari cahaya Allah swt di Azali.
Cahaya cahaya ini hanya boleh diperolehi dengan melaksanakan suruhan Allah swt, meninggalkan segala laranganNya, dengan membuat kebajikan dan ibadaibadah yang sunnah hingga jadilah seseorang itu dipenuhi cahaya dari sisi Allahswt.

PEMBAHASAN NUR (CAHAYA) OLEH IMAM HUJJATUL ISLAM
AL-GHAZZALI (SEBAHAGIAN TERJEMAHAN DARI KITAB MISYKATUL ANWAR)
Pembahasan tentang cahaya ini rasanya tidak akan memadai tanpa kita merujuk kepada apa yang telah diterangkan oleh Imam Al-Ghazzali dalam kitabnya Misykatul Anwar. Imam Al-Ghazzali adalah seorang pemikir Islam dan juga pemikir yang banyak memikirkan tentang maslahat umat manusia secara zahir dan bathin.

Kitab Misykatul Anwar adalah contoh yang menunjukkan perjalanan hidup Imam Al-Ghazzali dalam mencari hakikat dan tujuan kehidupan yang sebenarnya. Antara lain yang dijelaskan dalam kitab beliau ialah :
􀁸 Penjelasan tentang rahsia-rahsia cahaya Ilahi ( Bab ini diterangkan setelah beliau mencapai tahap pemikiran yang tertentu dan ingin memastikannya)
􀁸 Menjelaskan tentang rahsia-rahsia cahaya tersebut dengan kaitan ayat Nur dan hadis Hijab dan membahagikan pembahasan ini dalam tiga bab utama.
􀁸 Dalam bab pertama, beliau menerangkan makna cahaya, antara lain menjelaskan hakikat cahaya yang sebenarnya iaitu Allah swt dan cahaya itu bukanlah cahaya yang ditakrifkan dan difahami oleh manusia dan dapat diertikan oleh akal pemikiran manusia yang terbatas.
􀁸 Dalam bab kedua, beliau menjelaskan pula rahsia-rahsia perumpamaan ayat7 Allah swt tentang cahayaNya iaitu perhatian kepada pengertian kalimat Misykat, Misbah, Zujajah, Syajarah, Zait dan Naar. Kemudian menjelaskan tentang tingkatan ruh-ruh manusia dan penerangannya.
􀁸 Dalam bab ketiga, Imam Al-Ghazzali, menjelaskan pula tentang hadis Hijab dengan tumpuan kepada maksud hijab dan pembahagiannya.

BAHAGIAN PERTAMA
Ayat Tentang Cahaya
"Allah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya itu laksana sebuah Misykaat; di dalamnya ada lampu. Lampu itu di dalam sebuah kaca. Kaca itu laksana bintang yang gemerlapan. Dipasang dari sebatangkayu yang beroleh berkat, iaitu (minyak) pohon zaitun, tidak timur, dan tidak barat. Hampir sahaja minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api. Cahaya Atas 
Cahaya". An-Nur :35

Ayat Tentang Kegelapan
"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menghulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu. Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya". An-Nur 39-40

Hadis Tentang Cahaya Allah
"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan gelap. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan". Hadith dari At-Tabrini

Hakikat Cahaya
Cahaya hakiki yang sebenarnya ialah Allah swt. Penggunaan kalimat cahaya selain daripada Allah adalah perumpamaan sahaja dan tidak membawa maksud yang sebenarnya.
Penggunaan kalimat cahaya digunakan pada 3 pengertian :
􀁸 Pengertian pada orang awam
􀁸 Pengertian pada orang khusus
􀁸 Pengertian pada orang yang lebih khusus

Pengertian pada orang awam
Cahaya bererti sesuatu yang zahir dan kelihatan. Yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu itu kelihatan kepada sesuatu yang lain daripadanya, atau tidak kelihatan (tersembunyi) daripada sesuatu yang lain daripadanya. Maka sesuatu dapat dilihat ialah kerana wujudnya penglihatan. Sesuatu benda dari segi penglihatan itu terbahagi kepada tiga :
1. Sesuatu yang dengan sendirinya tidak boleh kelihatan seperti sesuatu yang gelap.
2. Sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan, tetapi tidak boleh membuat benda lain kelihatan seperti bintang-bintang dan api yang belum menyala.
3. Sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan juga boleh membuat benda lain kelihatan seperti bulan, matahari, lampu dan api yang menyala.

Kesimpulannya, cahaya pada pengertian umum ialah kalimat yang digunakan untuk sesuatu yang dengan sendirinya boleh kelihatan dan boleh membuat benda yang lain kelihatan.

Pengertian pada orang khusus
Hakikat cahaya ialah sesuatu yang kelihatan dan menyebabkan sesuatu yang lain itu kelihatan.
Cahaya yang zahir ini menyerupai ruh yang disifatkan sebagai satu penglihatan juga. Ruh itu memainkan peranan penting dalam penglihatan, bahkan ia lebih penting kerana ruh orang yang melihat itulah yang mengerti sesuatu.

Melalui ruh, seseorang itu dapat memahami dan mengerti sesuatu yang dilihat. Sebenarnya, perkataan cahaya itu ialah sesuatu yang melihat. Yang melihat itu adalah mata. Cahayalah yang membolehkan mata itu melihat. Tanpa cahaya, mata tidak dapat berfungsi dan tidak dapat menghasilkan penglihatan.

Oleh kerana itu, manusia menggunakan istilah cahaya mata.
Sebagai contoh :
􀁸 Orang yang kabur matanya, dikatakan cahaya penglihatannya kabur.
􀁸 Orang yang lemah penglihatannya, dikatakan cahaya pandangan matanya lemah.
􀁸 Orang yang buta, dikatakan cahayanya gelap.

Pengertian pada orang yang lebih khusus
Cahaya penglihatan biasa itu ada kekurangan dan kecacatannya. Antara lain
kecacatannya :
􀁸 Ia dapat melihat benda lain tetapi tidak melihat dirinya sendiri.
􀁸 Ia juga tidak dapat melihat sesuatu yang sangat jauh atau yang sangat dekat.
􀁸 Ia tidak dapat melihat sesuatu yang di belakang dinding.
􀁸 Ia melihat yang diluar sahaja dan tidak dapat melihat yang di dalam.
􀁸 Ia melihat sebahagaian sahaja bukan keseluruhan.
􀁸 Ia melihat perkara yang terbatas atau terhad dan tidak melihat perkara yang tidak terbatas.
􀁸 Dalam melihat itu pula, ia banyak membuat kesalahan, kerana apa yang sebenarnya besar, pada pandangannya kelihatan kecil, apa yang jauh kelihatan dekat, apa yang diam kelihatan bergerak, apa yang bergerak kelihatan diam.

Sesungguhnya pada hati manusia itu ada mata yang bebas dari segala kekurangan yang ada pada mata biasa yang ada pada manusia iaitu Aqal, Ruh dan Jiwa.
Dari penjelasan di atas berkenaan cahaya, maka disini wajarlah Aqal itu digelar cahaya dan bukannya mata. Memang benar dikatakan bahawa antara keduanya itu ada perbezaan yang besar nilainya, sehingga kita boleh mengatakan bahawa AQAL itulah yang sebenarnya dipanggil CAHAYA.

Kaitan cahaya dengan Allah swt
Maksud ‘Allah itu cahaya langit dan bumi”
Kiasannya, cahaya itu membolehkan kita melihat warna. Contohnya, pada siang hari apabila kita melihat tumbuh-tumbuhan, maka kita akan mengatakan bahawa kita tidak melihat sesuatu yang lain kecuali warna hijau. Mungkin di sini diperbahaskan oleh sebahagian orang bahawa cahaya itu tidak wujud, yang kelihatan hanya warna hijau sahaja.

Dengan demikian, mereka menafikan wujudnya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan menyebabkan warna itu kelihatan. Dengan adanya cahayalah, maka benda-benda itu kelihatan kerana cahaya itu boleh kelihatan dan membuat benda-benda yang lain kelihatan.
Tetapi apabila datangnya malam, maka barulah mereka sedar bahawa adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya. Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik setiap warna dan dilihat bersama warna.

Maka di sini, boleh dikatakan oleh kerana kesatuan cahaya dengan warna itu, hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ, mungkin kerana terlampau terang sehingga menyebabkan cahaya tidak kelihatan. Ini disebabkan kerana sesuatu yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.

Dengan penjelasan ini, dikatakan bahawa kita boleh melihat Allah swt disamping seuatu benda itu. Umpamanya, ada yang berkata
‘Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah swt” – kata kata Abd Malik ……….As-Sy’rai11

Al-Quran ada menerangkan :
“Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya” – Surah Fussilat :53

Dalam ayat yang lain Allah mengatakan :
“Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam seluruh alam dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar” – Fussilat : 53

Dalam bicara melihat Allah ini, harus kita ketahui bahawa ada yang melihat Allah secara terus menerus iaitu golongan para aulia Allah. Ada pula yang melihat Allah swt melalui perbuatan-perbuatannya iaitu golongan orang-orang Arif yang telah yakin dalam ilmunya. Selain dari kedua-dua golongan ini, maka tidak lain hanya orang-orang yang lalai kerana wujudnya hijab pada diri mereka.
Sesungguhnya wujudnya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan Allah swt itu membolehkan mata bathin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama segala sesuatu setiap ketika dan Dialah yang menampakkan segala-galanya. Melihat Allah swt di sini bukan dalam pengertian berbentuk dan Allah swt itu tidak menyerupai dengan sesuatu.

Ini dijelaskan dalam firmanNya :
“Tidak ada sesuatu yang serupa denganNya dan Dialah yang Maha Mendengar Lagi Melihat” – As-Syura : 14

BAHAGIAN KEDUA
PENJELASAN TENTANG PERUMPAMAAN MISYKAT, LAMPU, KACA, POKOK, MINYAK DAN API PADA AYAT NUR

Dalam penjelasan mengenai perkara ini, harus diketahui dua perkara iaitu :
1. Penerangan tentang rahsia perumpamaan-perumpamaan pada ayat tersebut dan kaitan ruh dengan perumpamaan tersebut.
2. Peringkat-peringkat ruh.

Rahsia di sebalik perumpamaan
Alam ini terbahagi kepada dua :
1. Alam Ruhani 2. Alam Jasmani
Boleh juga digelar :
1. Alam Kebendaan 2. Alam Aqal
Atau
1. Alam Tinggi 2. Alam Rendah
Alam Ruhani (Alam Tinggi) itu tidak kelihatan oleh kebanyakan orang. Sebaliknya, Alam Jasmani (Alam Rendah) itu kelihatan oleh semua orang, kerana ia adalah alam pancaindera atau alam nyata.
Perjalanan menuju ke Alam Ruhani itu akan terhalang jika tidak ada perhubungan antara kedua alam ini. Jika perjalanan ke alam tersebut itu dapat dilalui, maka tidak mungkin kita sampai ke Hadirat Ilahi Rabbi.

Alam nyata (Jasmani) ini adalah tempat bertolaknya ke Alam Ruhani (Tinggi).
Firman Allah swt
“Maka apakah orang yang berjalan tersungkur di atas mukanya itu lebih banyak mendapat petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?” – Al-Mulk : 22
Yang dimaksudkan perjalanan yang lurus pada ayat ini adalah menuju Alam Ruhani. Ini boleh juga dikatakan keimanan atau tempat mendapat bimbingan yang sebenarnya. Jika tiada perhubungan antara kedua-dua alam, maka tidaklah mungkin seseorang itu naik ke alam yang lebih tinggi. Allah swt memberikan rahmatNya kepada Alam Jasmani seperti juga diberiNya kepada Alam Rohani.
Dari itu, tidak ada suatu pun di Alam Jasmani ini yang tidak menjadi simbol atau perumpamaan kepada perkara-perkara di Alam Ruhani. Sekiranya alam Ruhani mempunyai cahaya yang digelar Malaikat, dan cahaya itu pula dipancarkan kepada ruh-ruh, maka oleh kerana itu malaikat-malaikat itu boleh digelarkan tuan, dan tuan bagi segala tuan-tuan itu ialah Allah swt.
Tuan-tuan ini mempunyai peringkat-peringkat sinaran yang berbeza-beza. Maka simbol semua itu di Alam Jasmani ialah matahari, bulan dan bintang.

Perhatikan kisah Nabi Ibrahim yang sedang perjalanan menuju Allah swt, naik ke satu peringkat seumpama sebuah bintang. Sinaran cahaya bintang itu nampak kepadanya. Maka disedarilah bahawa dunia di bawah sana mengagungkan pengaruh dan sinaran cahaya bintang itu dan seterusnya………
Firman Allah swt menceritakan kisah ini :
“Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar Adakah kamu menjadi berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.
Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan Kami yang terdapat di langit dan bumi, dan Kami memperlihatkannya agar Ibrahim itu termasuk orangorang yang yakin.
Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang lalu berkata “Inilah Tuhanku”. Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata “Saya tidak suka kepada yang tenggelam”. Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata
: “Inilah Tuhanku”. Tetapi bulan itu terbenam, dia berkata : “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku tergolong dari orang-orang yang sesat”. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata : “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar”.

Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata : “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah tergolong dari orang-orang yang mempersekutukan Tuhan”. – Al AnAm : 79

Kalimat “Yang” dalam ayat ini dimaksudkan ialah Allah swt. Ini disebabkan tidak ada perbandingan dan tidak ada persamaan Ini menunjukkan Allah itu Maha Agung dan tidak termasuk dalam bidang perbandingan dan persamaan.

PENJELASAN MENGENAI MARTABAT RUH MANUSIA
Pertama : Ruh Hissi (Pancaindera)
Ruh Hissi menerima maklumat yang dibawa oleh pancaindera yang lima iaitu rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh. Ini merupakan asal ruh yang dinamakan Ar-Ruh Al-Hayawani (yakni sesuatu yang mempunyai hayat). Ruh ini juga wujud pada bayi yang masih kecil.

Kedua : Ruh Khayali
Ruh ini merakamkan segala yang dibawa oleh pancaindera. Maklumat ini disimpan dan disediakan untuk dipersembahkan kepada jiwa atau Ruh Akal di peringkat yang tinggi apabila maklumat itu dikehendaki.

Ruh ini tidak wujud pada seorang bayi. Inilah sebabnya apabila seseorang bayi itu hendak memegang sesuatu yang dilihatnya, ia akan lupa pada benda itu apabila ianya hilang daripada pandangannya. Tidak akan timbul kehendak dalam jiwa atau ruhnya kepada sesuatu yang tidak dilihatnya sehinggalah ia meningkat umur dewasa. Maka di kala itu, ia mula menangis kerana menghendaki sesuatu benda yang tersimpan dalam khayalannya. Inilah yang dinamakan Ruh Khayali.

Ketiga : Ruh Akal
Ruh atau jiwa ini mengetahui perkara-perkara yang di luar sempadan pancaindera dan khayalan. Kebolehan ini hanya khusus wujud pada manusia dan tidak ada pada binatang dan anak-anak. Perkara-perkara yang diketahui oleh ruh ini adalah kebenaran yang digunakan dengan menyeluruh.

Keempat : Ruh Yang Memikir dan
Membuat Kesimpulan
Ruh atau jiwa ini mengambil butir-butir yang dibicarakan oleh akal atau pendapat dan mengumpul dan menyusunkannya sebagai pokok pemikiran dan dari situlah diambilnya sesuatu maklumat. Kemudian diambil pula antara dua kesimpulan dan disertakan lagi dan diambil kesimpulan yang baru dan begitulah seterusnya tanpa had batasan.

Kelima : Ruh Kenabian Yang Suci
Ruh ini wujud pada para nabi dan aulia Allah. Dengan ruh ini, perkara-perkara di alam ghaib atau alam ruhani dapat mereka lihat bersama dengan beberapa pengetahuan langit dan bumi serta ilmu ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh Ruh Akal dan jiwa yang membuat kesimpulan.
Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah swt :
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu Ruh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al-Kitab dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjukkan dengannya siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. …………..Surah Asyura ayat 52---”

Kesimpulan
Maka, dari itu, ketahuilah bahawa tiada peringkat atau martabat yang lebih tinggi dari peringkat akal yang dapat melihat apa yang terlihat di dalam bidang akal. Sebagaimana juga akal itu lebih tinggi dari pancaindera yang lain dan ianya dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera.

KEGUNAAN AYAT NUR DAN HADIS HIJAB
Penerangan Tentang Perumpamaan Ayat Nur
Maksud dan pengertian perumpamaan atau simbolik disebalik ayat yang terdapat pada Surah An-Nur ayat 35.. Penerangannya akan meliputi :
􀁸 Pasangan antara lima peringkat ruh dan
􀁸 Lima perumpamaan iaitu Misykat (lubang) , Zujajah (kaca) , Misbah (lampu), Syajarah (pokok) dan Zaitun (minyak).
1 Ruh Hissi
Cahayanya datang melalui bebrapa saluran iaitu mata, telinga, hidung dan lainlain. Simbol yang paling wajar untuk ini ialah “MISYKAT”(Lubang)

2 Ruh Khayali
Ia mempunyai 3 sifat.
1. Ianya adalah daripada perkara yang terdiri daripada alam rendah yang kasar ini, kerana sifat-sifatnya mempunyai saiz, bentuk, ukuran yang tertentu dan terhad. Selanjutnya salah satu sifatnya ialah ia tidak bercahaya oleh sinaran kepada cahaya akal. Akal akan melampaui arah, bilangan dan jarak.
2. Jika sesuatu itu terang, jelas dan terkawal, maka ia akan mencapai persamaan dengan pendapat akal dan akan tertembus oleh cahaya daripada mereka itu.
3. Khayalan ini pada mulanya sangatlah perlu agar dapat dikawal oleh pengetahuan akal dan dengan ini pengetahuan tersebut tidaklah terganggu, terumbang-ambing dan lari dari kawalan.

Bayangan yang dibekalkan oleh khayalan itu menguasai pengetahun yang dibekal oleh akal. Dalam dunia harian yang nyata ini, kita akan dapati bahawa benda atau objek yang mempunyai ketiga-tiga sifat ini jika dihubungkan dengan cahaya biasa ialah “KACA” (Zujajah). Ini disebabkan kaca pada mulanya itu kotor, tetapi setelah dibersih dan dihalusi hingga menjadi bersinar (tembus oleh cahaya) maka ia akan tembus kepada cahaya lampu. Kaca ini pula melindungi lampu itu daripada padam oleh hembusan angin atau goncangan yang kuat.
Maka kaca inilah simbolik yang paling sesuai bagi khayalan.

3 Ruh Aqli
Ini memberi kita kefahaman tentang perkara-perkara ketuhanan. Tentang perumpamaan ini, telah jelas kepada kita bahawa para nabi itu adalah Misbah (Lampu yang memberi cahaya).

4 Ruh yang Memikir dan Membuat Kesimpulan
Keadaannya bermula dengan satu pendapat, kemudian bercabang dua, setelah itu bercabang empat, dan begitulah seterusnya hingga dengan proses pemecahan secara logik ini, ia menjadi beratus-ratus dan beribu-ribu banyaknya.
Akhirnya membawa kepada satu kesimpulan dan kesimpulankesimpulan ini pula mengeluarkan lagi banyak kesimpulan, dan begitulah seterusnya. Oleh yang demikian, ruh ini disimbolkan sebagai "POKOK" (Syajarah) kerana keadaan ini seumpama pokok di alam nyata ini.
Selanjutnya kita perhatikan bahawa hasil atau buah (jiwa) jenis ini mengeluarkan banyak ilmu dan menetapkannya. Maka sewajarnyalah ia tidak disimbolkan dengan pokok epal atau delima atau lain-lain pokok kecuali pokok zaiton.

Buah zaiton itu ada mengeluarkan minyak yang digunakan untuk minyak lampu dan minyak ini berbeza dengan lain-lain minyak. Minyak zaiton ini menambah sinaran lampu. Jika diberi kata sifat adjektif "berkat" kepada pokok tersebut, maka sudah tentu hasil yang didapati dari pokok itu diberi kata sifat adjektif berkat juga. Akhirnya jika cabang-cabang atau pendapat akal bersih itu tidak tertakluk kepada arah dan jarak, maka wajarlah digelar simbol pokok ini sebagai "tidak timur dan tidak barat". (La Syarqiyyatun Wa La Gharbiyyah)

5 Ruh Kenabian Yang Suci
Ruh atau jiwa yang terang benderang ini ada pada nabi dan wali Allah. Jiwa fikiran manusia terbahagi kepada dua jenis.
􀁸 Satu daripadanya perlu dan wajar dinasihati dan dibekali dari luar untuk mendapat ilmu terus menerus.
􀁸 Yang satu lagi tidak perlu bekalan ilmu dari luar; cukup dari dalam, seolah-olah bercahaya dengan sendiri. Kebolehan tabie yang kuat dan terang ini dikatakan sebagai "minyak itu bernyala-nyala walaupun ia belum disentuh oleh api". (Ya kaadu zaituha yudhi- u walau lam tamsashu naar)
􀁸 Ada wali Allah yang mempunyai cahaya yang sangat terang hingga "hampir" tidak memerlukan lagi apa yang dibekalkan oleh para nabi.
􀁸 Ada pula yang mempunyai cahaya yang "hampir-hampir" tidak memerlukan lagi apa yang dibekali oleh para malaikat. Inilah perumpamaan yang sewajarnya bagi perkara ini. Cahaya ruh manusia itu berperingkat-peringkat.
􀁸 Maka peringkat pancaindera itu adalah peringkat awal dan persediaan untuk khayalan (kerana khayalan boleh dianggap sebagai mengikuti
pancaindera).
􀁸 Selepas itu diikuti pula oleh akal.
􀁸 Kemudian dituruti pula oleh jiwa yang memikir dan membuat kesimpulan
Semua itu menerangkan;
􀁸 Kenapa kaca itu dikatakan tempat letak lampu;
􀁸 Dan misykat itu tempat letak kaca.
􀁸 Ini bererti lampu itu di dalam kaca dan kaca itu dalam misykat (lubang).
􀁸 Akhirnya, sebagaimana yang kita lihat adanya cahaya yang berperingkat peringkat itu mentafsirkan kepada kita ayat yang bermaksud "Cahaya Atas Cahaya" itu. (Nur ‘ala Nur)

KESIMPULAN AYAT BERKENAAN GELAP
Perumpamaan atas simbolik cahaya hanya untuk hati atau jiwa orang-orang yang beriman, atau Nabi-nabi dan wali-wali Allah sahaja. Bukan untuk hati orang-orang ingkar kerana istilah "Cahaya" ini khusus untuk orang-orang yang dipimpin di jalan yang lurus.
Sebaliknya, bagi orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar dan lurus, maka ia adalah palsu dan gelap. Bahkan lebih gelap daripada yang gelap. Kegelapan itu tidak membimbing seseorang itu ke mana-mana.

Fikiran orang orang INGKAR itu dan seluruh pandangan mereka adalah sesat dan menyeleweng dan fikiran mereka itu saling sokong menyokong antara satu dengan lain untuk menipu dan menyesatkan tuan yang empunya. Mereka itu ibarat orang yang berada
Di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak. Di atasnya awan gelap; gelap di atas gelap" - Surah An-Nur ayat 40
"Laut yang sangat dalam" (Bahrun Lujjiyun) itu bermaksud dunia-dunia ini yang penuh dengan mara bahaya, kejahatan, dosa dan noda. "Ombak" (Mauj) yang pertama itu ialah ombak hawa nafsu yang dirinya jiwa itu mendapat sifat-sifat kebinatangan, dan dikuasai oleh keseronokan hawa nafsu, dan memuaskan cita-cita keduniaan sahaja; lalu
"Mereka makan dan berpoya-poya seperti lembu kerbau. Nerakalah tempat kediaman mereka". Surah Muhammad 12

Ombak itu diibaratkan sebagai kegelapan. Oleh itu cinta kepada makhluk menjadikan jiwa itu buta dan pekak. "Ombak" (Mauj) yang dilapisan kedua itu bermaksud sifat-sifat ganas yang mendorong jiwa itu bersikap
􀁸 Marah,
􀁸 Hasad dengki,
􀁸 Benci,
􀁸 Menentang diri sendiri,
􀁸 Sombong,
􀁸 Megah dan
􀁸 Bangga.

Maka, tepatlah simbolik gelap ini kerana marah itu adalah iblis akal manusia. Dan sesuai juga simbolik ombak yang di atas itu kerana marah itu kebanyakan lebih kuat daripada nafsu syahwat; marah yang mendidih menyelewengkan jiwa dari nafsu angkara dan membuatnya lalai dengan keseronokan. Hawa nafsu tidak dapat menentang marah yang bersangatan.
"Awan gelap" (Sahaabun Zulumaatun) itu adalah kepercayaan yang bukan bukan, bid’ah yang menyesatkan dan pemikiran yang rosak yang menjadi lapisan-lapisan hijab yang mendinding orang-orang kafir daripada mendapat iman, ilmu yang hakiki dan sinaran dari cahaya Al-Quran dan akal yang bersih.

Telah menjadi lumrah, awan itu melindungi sinaran cahaya matahari. Oleh kerana semua perkara tersebut adalah menggelapkan, maka sesuai benarlah ayat ini "Gelap di atas gelap" (Zulumaatun Ba’dhuha Fauqa Ba’dhin) .

Ini adalah kerana perkara-perkara tersebut menutup jiwa daripada mendapat ilmu tentang perkara-perkara yang dekat; apatah lagi yang jauh. Ianya mendinding orang-orang kafir daripada mengetahui apa yang dibawa oleh Nabi, meskipun mereka sangat hampir dan boleh dipandang. Sesuai benarlah dikatakan
"Jika seseorang menghulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu"20
Kesimpulannya, semua cahaya-cahaya ini berpunca dan berasal dari Yang Maha Esa, maka sewajarnyalah tiap-tiap orang yang mengakui dan beriman dengan kalimah tauhid mempercayai bahawa,
"Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya"----Surah An-Nur ayat 40


BAHAGIAN KETIGA
PENERANGAN TENTANG PERUMPAMAAN HADIS 70,000 HIJAB
"Allah mempunyai tujuh puluh ribu hijab (tabir) cahaya dan gelap. Sekiranya Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenalinya dengan pandangan".22 Sesungguhnya Allah itu tidak tidur dan tidak sepatutnya Ia tidur. Dialah yang meringan dan memberatkan timbangan
Dia mengangkatkan kepadaNya amalan pada waktumalam sebelum amalan siang, dan amalan pada waktu siang sebelum malam. HijabNya itu cahaya dan sekiranya Ia membuka hijab itu, maka keagunganNya pasti akan menghancurkan sesiapa yang mengenaliNya dengan pandangan daripada sekelian ciptaanNya………..Hadis riwayat Imam Muslim. Dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan Ahmad

Ada tiga jenis hijab yang ada pada manusia iaitu :
1. Gelap keseluruhannya
2. Campuran gelap dengan cahaya
3. Cahaya keseluruhannya

1 Gelap Keseluruhannya
Bahagian pertama ialah mereka yang terhijab atau terdinding oleh gelap yang sebenarnya. Mereka ini ialah orang yang tidak percaya dengan Allah dan hari kemudian. Inilah orang "yang kasih kepada kehidupan dunia ini lebih daripada kehidupan akhirat" kerana mereka tidak percaya dengan apa yang akan datang kemudian.

Mereka ini pula terbahagi kepada beberapa pecahan.
1 Mereka yang hendak mencari sebab terhadap kehidupan di dunia ini dan mereka jadikan alam nyata ini sebagai sebab. Tetapi alam nyata ini ialah satu sifat yang ada pada benda-benda. Ianya pula adalah gelap kerana ia;
􀁸 Tidak ada ilmu pengetahuan,
􀁸 Tidak ada pandangan,
􀁸 Tidak ada kesedaran terhadap diri sendiri,
􀁸 Tidak ada kesedaran terhadap yang lain,
􀁸 Tidak ada cahaya pandangan melalui perantaraan mata.

2 Mereka yang dipengaruhi oleh kepentingan diri sendiri dan tidak mahu mengetahui tujuan hidup ini. Mereka hidup seperti kehidupan binatang. Hijab ini ialah diri mereka sendiri (self-centered ego) dan hawa nafsu gelap mereka itu. Tidak ada gelap yang lebih gelap daripada penghambaan kepada dorongan diri sendiri dan cinta diri sendiri. Firman Allah
"Tidakkah engkau perhatikan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya?" ………..Surah Al-Furqan ayat 43
Sabda Nabi Muhammmad saw :
"Mempertuhankan hawa nafsu adalah penyembahan yang paling dibenci oleh Allah"…………. Hadis dikeluarkan oleh At-Tabrani dan Abu Nua’im dari Abu Imamah

Bahagian yang kedua ini terbahagi lagi kepada beberapa pecahan iaitu :
1 Manusia yang menganggap dan berkeyakinan bahawa matlamat atau tujuan akhir hidup di dunia ini ialah untuk memuaskan hawa nafsu kebinatangan mereka sahaja, sama ada berkenaan dengan jantina, atau makan-minum atau pun pakaian. Inilah hamba nafsu.
Hawa nafsu itulah Tuhan mereka. Mereka percaya bahawa dengan memuaskan nafsu itu, mereka akan mendapat kebahagiaan. Inilah manusia yang merendahkan martabat mereka lebih rendah daripada martabat binatang.
Adakah sesuatu yang lebih gelap daripada ini????. Inilah orang yang dihijab sebenarnya.

2 Manusia yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah menakluk dan menguasai, seperti membunuh dan merampas. Mereka itu ialah orangorang yang jahil. Hijab pada mereka ialah sifat-sifat ganas dan garang. Sifat sifat ini menguasai mereka. Mereka berasa senang hati dengan sifat-sifat mereka itu. Inilah orang-orang yang bersifat binatang. Mereka merendahkan martabat kemanusian mereka itu lebih rendah lagi daripada binatang.

3 Manusia ialah yang menganggap matlamat akhir hidup ini ialah kekayaan harta benda kerana kekayaan ini adalah alat untuk memuaskan tiap-tiap nafsu syahwat mereka. Mereka menghabiskan masa muda dan tenaga mereka dengan memperbanyakkan dan mengumpul harta kekayaan wang ringgit, emas dan perak, tanah dan rumah yang indah, gedunggedung besar dan lain-lain lagi.
Mereka mengumpul dan menyimpan wang ringgit sebanyak-banyaknya. Mereka bertungkus lumus siang dan malam di mana sahaja untuk memperbanyakkan harta dengan sepuas-puasnya. Apa yang ada itu nampak sedikit dan mereka terus mencari lagi tanpa berhenti dan berpuas hati. Inilah orang-orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw :
"Orang malang, hamba orang!!!, orang malang, hamba emas!!".
Adakah gelap yang lebih gelap daripada ini?"
Mereka telah dibutakan oleh emas dan perak. Mereka tidak sedar bahawa emas dan perak itu adalah jenis logam yang tidak berguna jika semata-mata untuknya sahaja. Logam yangtidak lebih daripada batu-batu atau logam lainnya. Emas dan perak hanya bernilai jika ia dijadikan alat untuk mencapai tujuan-tujuan yang berfaedah dan dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang berguna.

4 Manusia yang menganggap bahawa kebahagiaan itu ialah dengan mencapai kemasyhuran diri, mencari "nama" dan memperluaskan pengaruh sehingga ramai orang yang menjadi pengikutnya serta menyanjungnya.

Mereka sentiasa berlagak dan melihat bayangan dirinya dalam cermin. Ada yang mencurahkan wang ringgitnya membeli pakaiannya yang indah-indah sampai baik dipandang orang dan disaksikan kecantikannya itu, meskipun ia menderita kekurangan dan dapur tidak berasap di rumahnya.
Allah swt berfirman :
“Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan” Surah Al-Baqarah ayat 257

2 Campuran Gelap Dengan Cahaya
Mereka ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu;
1. Terhijab Oleh Pancaindera
2. Gelapnya Berpunca Dari Khayalan
3. Gelapnya Berpunca Dari Logik Akal Yang Palsu.

1 Terhijab Oleh Pancaindera
Mereka ini ialah orang-orang yang telah melangkah sempadan mempertuhankan diri sendiri, yang mana itu adalah sifat orang-orang yang dalam golongan pertama yang telah tersebut dahulu kerana mereka mempertuhankan kepada sesuatu yang di luar diri mereka, dan ada sedikit keinginan untuk mengetahui Tuhan.
􀁸 Peringkat pertama terdiri daripada mereka yang menyembah berhala.
􀁸 Peringkat akhir terdiri daripada mereka yang menduakan Tuhan.
􀁸 Antara kedua-kedua peringkat tersebut, ada peringkat-peringkat lain lagi.

2 Gelapnya Berpunca Dari Khayalan
Mereka ini melangkah dari sempadan pancaindera kerana mereka sedar adanya sesuatu di sebalik objek-objek pancaindera. Tetapi golongan ini tidak dapat melangkah lebih dari sempadan khayalan. Oleh itu, mereka sembah sesuatu yang benar-benar duduk di atas kursi singgahsana.

3 Gelapnya Berpunca Daripada Logik Akal Yang Palsu
Mereka ini menyembah tuhan "yang mendengar, melihat, dan berilmu, berkuasa, berkehendak dan hidup", dan melampaui semua arah termasuk arah ke atas.
Tetapi konsep mereka tentang sifat-sifat ini diserupakan dengan sifatsifat mereka sendiri, hingga ada mereka berpendapat bahawa perkataan (KALAM) Tuhan itu ialah berhuruf dan berbunyi, seperti manusia juga.

Sementara yang lain pula lebih maju lagi ke depan. Kata mereka; "Sebenarnya seperti kalam fikiran kita, iaitu tidak berbunyi dan tidak berhuruf". Oleh itu, apabila mereka dicabar untuk menunjukkan bahawa Allah itu benar-benar "mendengar, melihat, hidup dan lain-lain", maka penjelasan mereka seolah-olah menyifatkan tuhan itu sebagai manusia, meskipun mereka menafikannya.

Ini adalah kerana mereka tidak dapat memahami apakah sebenarnya maksud pendapat tentang Sifat Allah itu. Mereka berkata bahawa berkenaan dengan Iradat atau Kehendak Allah itu, adalah ianya bergantung atau berkaitan, seperti kehendak atau iradat manusia juga, berkehendak kepada sesuatu dan bertujuan. Semua pendapat-pendapat ini sudah terkenal dan termasyhur dan kita tidak perlu bicara tentang perkara ini dengan panjang lebar.

Mereka ini terhijab oleh beberapa cahaya Ketuhanan dan bercampur dengan kegelapan logik akal palsu. Semua yang tersebut itu adalah golongan bagi bahagian kedua yang terdiri daripada hijab gelap bercampur cahaya.

Golongan yang terakhir yang disebutkan oleh Imam Ghazali di atas banyak terdapat dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Walaupun mereka bertuhankan Allah dan mengakui kerasulan Nabi, namun mereka jahil dengan pendapat pendapat yang berkaitan sifat-sifat Ketuhanan Yang Maha suci lagi Maha Sempurna.
Biasanya golongan yang tersasar ini adalah dari golongan mereka Yang
􀁸 Hanya berpandukan kepada Al-Quran dan Hadis semata-mata dengan menolak mazhab-mazhab atau pendangan ulama-ulama yang Muktabar,
􀁸 Hanya berpandukan kepada Al-Quran semata-mata,
􀁸 Menafikan Kefarduan Mempelajari Ilmu Usuluddin atau Ilmu Tauhid,
􀁸 Hanya bertaklid kepada warisan keluarga semata-mata.

PEMBAHAGIAN NUR
Menurut pembahagian, nur itu terbagi kepada dua iaitu:
Nur Hissi (Zahir)
Iaitu cahaya yang kita melihat sesuatu dengan mata kepala kita seperti cahaya sinaran matahari yang memberi kita cahaya terang diwaktu siang.
Nur Ma’nawi (Bathin)
Iaitu cahaya yang kita melihat dengan mata hati terhadap sesuatu yang ghaib atau memahami sesuatu hakikat atau pengertian. Nur Batin ini terbagi pula kepada 8 jenis, iaitu:
Nur Al-Iman
Cahaya keimanan iaitu cahaya sejati yang dapat menembusi segala kegelapan dimana akan ternyata keagungan dan keesaan Allah s.w.t menyinari hati insan.
Nur Al-Qalb
Cahaya hati iaitu cahaya yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada nur Al-Iman.
Nur Ar-Ruh
Cahaya Ruh (jiwa) iaitu cahaya yang diperoleh dengan sebab kepatuhan yang sungguh-sungguh kepada Allah dan menyucikan peribadi dari perlakuan liar dan adat resam yang merugikan sehingga ruhnya dapat berhubung dengan alam malaikat.
Nur An-Nafs
Cahaya peribadi yang wujud dengan sempurna berikutan dengan memperoleh sinaran dari pada Nur Ar-Ruh.
Nur As-Sirr
Cahaya rahsia yang diperoleh dengan mengenal Allah dengan sebenar-benar pengenalan yang diikuti dengan hubungan kepada Maha Pencipta tanpa selainNya sehingga dapat menyaksikan keajaiban kebesaran Ilahi di Alam Malakut dan Alam Mulk dan Syahada.
Nur Al-Aql
Cahaya akal yang wujud dengan sempurna dengan memperoleh sinaran cahaya daripada Nur As-Sirr.
Nur Al-Qur’an
Cahaya Qur’an yang merupakan Nur Allah s.w.t. yang berhubung rapat dengan DzatNya Yang Maha Tinggi. Hakikat Nur ini adalah diserahkan kepada Allah. Hanya diketahui bahwa nur inilah yang menimbulkan Nur As-Sirr dan nur yang lain.
Nur Al-Kasyaf
Cahaya singkapan iaitu Nur Al-Qur’an yang merupakan nur yang paling tinggi dan mamberi kesan yang istimewa. Nur ini dapat menggilapkan cermin hati para insan dengan membaca ayat-ayat suci,dzikrullah (takbir,tahmid,tasbih,taqdis dan lain-lain); juga dengan memakan makanan yang halal, berlaku ikhlas, berpuasa meninggalkan sesuatu yang memesongkan, sentiasa membersihkan diri dan peribadi dengan mengekalkan wudhu’ dan menjaga segala waktu untuk ketaatan dan berbakti kepada Allah s.w.t.
Firman Allah swt :
Wahai manusia se,sungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari tuhanmu (nabi Muhammad dan mujizatnya); dan kami telah menurunkan kepadamu satu cahaya (Al-Qur’an) yang terang benderang. Surah An-Nisaa ayat 174

Menurut golongan Sufi bahwa nur ini memungkinkan mengangkat pandangan basirah kepada ‘Arasy dan Kursi dan menyaksikan segala nur-nur yang indah hingga terbuka segala rahsia-rahsia alam dan bermacam-macam rupa alam ghaib.

Nur inilah yang menyelubungi peribadi Nabi Muhammad s.a.w sehingga beliau dapat memandang atau mengetahui sesuatu dengan izin Allah. Dikala beliau pulang dari pengembaraan Isra’ dan Mi’raj, orang-orang kafir mengerumuni beliau bagi menguji kebenaran pelajarannya. Mereka menanyakan sifat-sifat masjid Al-Aqsa dengan terang, tetapi pertanyaan itu dapat dijawab oleh nabi dengan tepat sehingga segolongan manusia merasa hairan dan kagum lalu mempercayai kebenaran Nabi s.a.w.

Nur inilah yang membukakan pandangan kepada Khalifah Umar b.Al-Khattaab yang berada di kota Madinah dapat melihat daerah Nahawand dan melihat panglima dan tentara-tentara Islam yang sedang berjuang menyerang tentera tentera

Parsi dibawah raja Yazdajird III dimana beliau mengeluarkan perintah menggempur musuh dengan hebat. Suara Umar didengar pula oleh panglima Hudzaifah Al-Yaman sehingga beliau berjaya menumpaskan mereka.

Pada suatu masa ditanyakan Rasulullah s.a.w. dengan pertanyaan: "Apakah Nur
itu?"
Beliau menjawab: "Apabila nur itu memasuki hati maka lega dan lapanglah hati itu." Kemudian ditanyakan lagi: "Bagaimanakah tandanya?" Sabdanya: "Hati itu tidak lupakan perkembaliannya ke Darul Khuld (negeri Akhirat) Dia tidaklah bermasyghul (berleka-leka) dengan keduniaan kerana dunia ini adalah tempat perayaan (dan Percubaan).Hati itu selalu mengingati kematian sebelum tibanya kematian itu."
Abdullah b. Mas’ud pernah berkata:
Ilmu itu diperoleh bukanlah kerana semata-mata banyak riwayat (sumber biasa), tetapi dia hanya diperoleh dengan nur yang dicampakkan Allah ke dalam hati seseorang.

MAKRIFATULLAH
Allah berfirman tentang ibadat:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”. Surah Az-Zaariyat ayat 56
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya mengenali Daku’. Jika seseorang tidak mengenaliNya bagaimana dia boleh memujiNya dengan sebenar-benarnya, meminta pertolonganNya dan berkhidmat kepadaNya?
Makrifat yang diperlukan bagi mengenaliNya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan menggilapkannya sehingga bercahaya.

Kemudian perbendaharaan keindahan yang tersembunyi akan memancar pada rahsia cermin hati. Allah Yang Maha Tinggi telah berfirman melalui rasulNya:
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku ingin dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”. Hadis riwayat Ad-Dailimi dam Musnadnya dari Anas r.a.
Tujuan suci diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat. Ada dua peringkat makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut. Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat.

Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau ruh suci manusia yang berada di dalam dirinya yang zahir ini.
“Dan Kami telah perkuatkan dia (Isa) dengan ruh kudus”. Surah Al-Baqarah ayat 87
Orang yang mengenali Zat Allah menemui kuasa ini melalui ruh kudus (suci) yang dikurniakan kepada mereka. Kedua-dua makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan.
Nabi s.a.w bersabda,
“Pengetahuan ada dua bahagian.
Satu pada lidah yang menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.
Allah berfirman:
“Barangsiapa berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”. Surah Al-Kahfi ayat 110
Apa yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang setiap orang kembali ke sana. Di samalah ruh suci dijadikan. Apa yang dimaksudkan dengan ruh suci adalah ruh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang
paling baik.
Kebenaran atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah, diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama.
Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah terus menerus, mengulangi kalimah “La Ilaha Illallah”. Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia diucapkan di dalam, dengan hati.


PERTEMUAN DENGAN ALLAH SWT DI AKHIRAT
Melihat Allah ada dua jenis: Pertama melihat sifat keindahan Allah yang sempurna secara langsung di akhirat’ dan satu lagi melihat sifat-sifat ketuhanan yang dipancarkan ke atas cermin yang jernih kepunyaan hati yang tulen di dalam kehidupan ini. Dalam hal tersebut penyaksian kelihatan sebagai penzahiran cahaya keluar daripada keindahan Allah yang sempurna dan dilihat oleh mata hati yang hakiki.
“Hati tidak menafikan apa yang dia lihat” Surah An-Najm ayat 11
Mengenai melihat kenyataan Allah melalui perantaraan, Nabi s.a.w bersabda,
“Yang beriman adalah cermin kepada yang beriman”.
Yang beriman yang pertama, cermin dalam ayat ini, adalah hati yang beriman yang suci murni, sementara yang beriman kedua adalah Yang Melihat bayanganNya di dalam cermin itu, Allah Yang Maha Tinggi. Sesiapa yang sampai kepada makam melihat kenyataan sifat Allah di dalam dunia ini akan melihat Zat Allah di akhirat, tanpa rupa tanpa bentuk.
Kenyataan ini disahkan oleh Saidina Umar r.a dengan katanya,
“Hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku
Saidina Ali r.a berkata,
“Aku tidak menyembah Allah kecuali aku melihatNya”.
Mereka berdua tentu telah melihat sifat-sifat Allah dalam kenyataan. Jika seseorang melihat cahaya matahari masuk melalui jendela dan dia berkata, “Aku melihat matahari”, dia bercakap benar.
Allah swt boleh dikenali di dalam dunia ini melalui sifat-sifatNya. Tetapi untuk melihat dan mengenali ZatNya sendiri hanyalah boleh terjadi di akhirat. Di sana melihat Allah adalah secara langsung sebagaimana yang Dia kehendaki dan yang melihatnya adalah mata bagi hati.
“Beberapa muka pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannya mereka melihat”.
Surah Al-Qiyamah ayat 22 & 23
Nabi s.a.w bersabda :
“Aku melihat Tuhanku di dalam rupa jejaka tampan”
Hadis riwayat Ibnu Abbas
Mungkin ini adalah bayangan bagi hati. Bayangan adalah cermin. Ia menjadi alat untuk menzahirkan yang ghaib. Hakikat Allah Yang Maha Tinggi tidak menyerupai sesuatu samada bayangan atau bentuk. Bayangan adalah cermin, walaupun yang kelihatan bukanlah cermin dan bukan juga orang yang melihat ke dalam cermin. Fikirkan tentang itu dan cubalah memahaminya kerana ia adalah hakikat kepada alam rahsia-rahsia.
Tetapi semuanya berlaku pada makam sifat. Pada makam Zat semua kenyataan hilang, lenyap. Orang yang di dalam makam Zat itu sendiri lenyap tetapi mereka merasai zat itu dan tiada yang lain.

DOA NUR
Pertama
Rasulullah saw apabila bangun dari tidurnya, maka ia berdoa dengan membaca :
Ya Allah, segala puji bagiMu. Engkaulah cahaya bagi sekelian langit dan bumi dan segala yang berada di dalamnya. Segala puji bagiMu Engkaulah yang menerangi langit dan bumi dan segala yang berada di dalamnya. Segala puji bagiMu engkaulah yang berkuasa bagi langit dan bumi dan segala yang berada di dalamnya. BagiMu segala puji tiada Tuhan melainkan Engkau. JanjiMu itu benar, pertemuan denganMu itu benar, syurga itu benar, para nabi utusanMu itu benar dan Nabi Muhammad saw itu benar.

Kedua
Ya Allah, Engkaulah cahaya. Engkau telah menerangi langit dan bumi dengan cahaya petunjukMu dengan ghaib pada zat mereka atas ketauhidan kepadaMu dan pengenalan padaMu. Maka Engkaulah cahaya yang nyata, Yang memberi petunjuk, Yang Gagah lagi Perkasa. CahayaMu tiada yang dapat menyerupai pada sekelian alam. Zat kewujudanMu itu tetap dan tiada sesuatu yang dapat menyerupai dan bersekutu denganMu.

Ketiga
Ya Allah, terangilah diriku dengan cahaya sifatMu yang terang benderang, dan dengan zatMu yang suci dari segala penyucian, yang terpelihara, yang bebas dari segala penyerupaan, dan keluasan ilmuMu yang maha meliputi segala sesuatu dan kewujudan. Zahirkanlah pada hatiku dari cahayaMu yang melenyapkan dengannya segala mata kegelapan alam ini dan cahaya yang melenyapkan dariku hijab-hijab kemanusiaan, dan menghilangkan dariku segala kehendak-kehendak kemanusiaan untuk mefana’kan diriku pada diriMu dan bagi mendapatkan cahaya petunjukMu. Sesungguhnya Engkaulah Allah Tuhan yang Bercahaya, terangilah diriku dengan cahayaMu wahai Cahaya

Keempat
Ya Allah, terangilah daku dengan cahayaMu. Ya Allah, wujudkanlah cahaya pada hatiku, pada anggotaku, pada darahku, pada tulangku, pada rambutku, pada jasadku, dan cahaya pada kananku, cahaya pada kiriku, cahaya dari bawahku, cahaya dari atasku yang meliputi diriku wahai Cahaya dari sekelian cahaya.

TAMAT

No comments:

Post a Comment

pandang pandang

AKU memandang DIA dipandang Aku merenung DIA tertenung AKU lah TENAGA luar dan dalam TENAGA itulah KUASAnya alam Pertemuan dikiri dan ka...