Makrifat Kaca !
Kaca itu adalah NAMA manakala AKU itu pula adalah GANTINAMA yang masih merujuk kepada KACA yang sama.
Jika dibuang segala Nama yang SATU maka akan terhijablah penzahiran Nama-Nama yang BANYAK.
Bila terhijab, maka sesuatu itu akan menjadi tidak bernama. Yang tidak ber-NAMA itulah 'Hakikat Diri' yang menzahirkan setiap NAMA.
Setiap SATU Nama yang dinamakan pada sesuatu itulah nama-nama ke 100 dari 99 nama yang dizahirkan ke atas hakikat Pemilik Nama itu!
100 itu kelihatannya banyak, namun tanpa angka 1, dua kosong (00) dibelakang angka 1 itu tidak memberikan sebarang makna, walapun angka kosong itu banyak (000,000,000), jika tanpa 1-Nya, 0 itu tidak bermakna. Namun, 1 yang tunggal itu perlu kepada angka kosong itu untuk menzahirkan BANYAK diriNya. Tanpa angka kosong (0), 10, 100, 1,000, 100,000, 1,000,000 tidak dapat dikenali.
Tanpa '0' hanya '1' yang nyata. Tanpa '1' akan KOSONG lah segalanya. Bila KOSONG segalanya, apa lagi yang tinggal?
Tinggallah KOSONG yang SATU itu jua !
HURAIAN
Ada sebiji gelas kaca di hadapan kita. Yang mana dikatakan gelas dan yang manakah pula yang dikatakan kaca?
Jika yang ditunjuk itu gelas, bukankah yang tertunjuk itu juga kaca? Jika yang ditunjuk itu kaca, bukankah yang tertunjuk itu juga, gelas? Makanya, yang mana satu yang betul? Mustahil ‘objek’ yang wujud di depan mata kita itu membawa DUA diri? Kalau dua, mana duanya, sedangkan yang nyata di depan mata itu nampak SATU ‘objek’ sahaja. Jika yang nampak SATU diri, bagaimana pula kita boleh katakan ada DUA diri?
Kaca dan Gelas adalah DUA hal yang kelihatan di dalam kenyataan yang SATU. Gelas menyatakan dirinya di dalam kaca dan kaca menyatakan dirinya di dalam gelas. Namun, gelas bukan kaca dan kaca bukan gelas. Kedua-duanya saling nyata menyata di antara satu dengan lainnya.
Kaca tetap pada diri kacanya dan gelas tetap pada diri gelasnya. Bersatu tidak bercerai tiada. Namun kedua-duanya saling menyatakan di antara satu dengan yang lain di dalam wujud yang satu.
Maka yang mana GELAS ?
Gelas Tiada !
Yang ada hanyalah Nama : G E L A S
Wujud Gelas itu hanya pada NAMA (Asma’) sahaja.
Realitinya, Gelas itu Tiada !
Gelas itu hanya wujud pada NAMA sahaja. Nama yang disebut “Gelas”. Nama gelas itu pula diberi sekadar untuk menunjukkan perihal objek yang hendak diperkatakan. Jika tiada bernama, maka bagaimana hendak merujuk kepada objek yang hendak diperkatakan itu? Bagaimana boleh mengenal tanpa Nama?
Umpama W@zir tanpa Namanya. Jika tanpa nama, bagaimana hendak bercerita perihal diri hamba? Bagaimana boleh mengenal hamba tanpa nama? Setidak-tidaknya, jika dipanggil “Hoi”, itu juga Nama. Dipanggil 'manusia', dipanggil 'penulis' itu juga Nama. Setidak-tidaknya, panggilan “Hoi” itu boleh digunakan untuk merujuk atau mengenal kepada tuan punya diri.
Justeru itu, bagi memudahkan objek itu dirujuk, maka objek itu pun dinamakan ‘GELAS’ oleh orang yang menamakanya mengikut kegunaan dan sifat objek itu. Objek itu tidak akan dinamkan gelas jika ia bukan berbentuk gelas. Jika objek itu berbentuk empat segi dan leper, ia mungkin dinamakan ‘CERMIN’. Jika ia berbentuk bunga, ia mungkin dinamakan ‘BUNGA KRISTAL’. Jika digunakan untuk mengisi sos, mungkin namanya ‘BOTOL’.
Makanya, hakikat diri GELAS itu tiada !
Gelas hanya menzahirkan diri Kaca pada penggunaan NAMA Gelas !
Jika ditunjuk pada gelas, yang tertunjuk itu bukan gelas, tapi yang tertunjuk adalah Kaca. Kaca adalah HAKIKAT (kenyataan/asal/raw material) kepada gelas, tanpa kaca, gelas tidak wujud.
Namun, perkataan ‘Kaca’ itu juga adalah satu NAMA. Nama yang dinamakan untuk merujuk kepada objek (kaca) itu bagi memudahkan kenal. Tanpa Nama, kaca tidak dapat dikenal oleh orang yang ingin mengenalnya. Tanpa Nama, segala sesuatu itu ‘kosong’ sunyi terasing di dunianya sendiri. Tiada sesiapa dapat mengenalinya (melainkan dirinya sendiri) walaupun ia nyata wujud di depan mata.
Justeru itu, kaca ‘perlu’ kepada NAMA (Asma’), untuk menzahirkan dirinya bagi membolehkan dirinya dikenali. Tanpa NAMA, kaca tidak dapat menunjukkan dirinya. Tidak dapat menunjukkan diri bukan bermaksud kaca itu tidak wujud atau tidak ada atau tidak dapat dilihat. Tidak ada kerana, tidak dapat dikenal. Tidak dapat dikenal kerana tidak ada NAMA. Justeru itu, NAMA diperlukan untuk Mengenal. Dengan adanya NAMA, barulah sesuatu itu dapat menzahirkan dirinya untuk dikenal. Bila dikenali, baru sesuatu itu dapat ‘dizahirkan’ akan kenyataannya. Barulah boleh dirujuk, barulah boleh dimaksudkan kepadanya, barulah boleh diperkatakan tentangnya.
Nama pula diberi mengikut kesesuaian SIFAT dan PERLAKUAN objek itu. Contohnya, jika sifat objek itu berbentuk silinder dan ada ruang menakung air ditengahnya, ia mungkin dinamakan ‘GELAS’. Jika objek itu digunakan sebagai tempat menghias bunga, ia mungkin dinamakan ‘PASU’.
Nama itu pula bergantung kepada keadaan tempat, bahasa, budaya , masa, ilmu dan orang yang menamakannya.
“Kaca” itu mungkin dinamakan “Cangkir” jika yang menamakannya itu kebanyakkan orang Indonesia yang tinggal di Jakarta.
Kaca itu mungkin juga bernama “Coca Cola Mug” jika ianya dibuat oleh syarikat, untuk tujuan perniagaan dan publisiti. Ia boleh saja dipanggil ‘barang’ atau ‘benda’ atau ‘gift’ atau ‘objek’ atau ‘cup’ atau apa saja NAMA.
Namun, walau apa pun nama yang dinamakan kepada objek itu, ia tetap menunjukkan hal ‘Kaca’ yang sama.
Jika Gelas TIADA (cuma ada pada Nama) maka mana KACA? Bukankah Kaca itu juga WUJUD hanya pada Nama?
BUKAN !
Kaca bukan Wujud hanya pada NAMA, tetapi pada setiap NAMA itulah, hanya Kaca yang Wujud.
Yang wujud hanya pada Nama itu adalah Gelas BUKAN Kaca !
Cuba lihat pada ‘Nama’ Gelas. Bila gelas dipanggil Cangkir, nama Gelas itu hilang bertukar kepada Cangkir, namun Kaca tetap WUJUD pada Cangkir itu. Jika nama Kaca dibilang Botol, maka nama Kaca lenyap diganti dengan nama Botol. Nama bertukar, namun Kaca tetap WUJUD pada Botol itu. Tukarlah apa saja nama, panggillah apa nama sekalipun, gelas, cawan, tingkap, mentol, cermin, pasu atau apa saja, Kaca tetap WUJUD pada setiap nama-nama itu.
Ternyata, Kaca tidak pernah meninggalkan Gelas!
Meskipun gelas pecah, pecahnya masih menampakkan serpihan. Serpihan itu dinamakan serpihan kaca. Jika kaca yang pecah itu dihancurkan, ia cuma berubah bentuk menjadi serbuk, namun serbuk itu masih diri kaca yang sama, bertukar nama dipanggil serbuk kaca. Jika serbuk kaca itu dibuang ke tanah, kembali ia menjadi silica. Hujan, panas dan angin kemudiannya membentuk silika yang di tanah itu menjadi pasir. Pasir tu diambil lalu dibentuk kembali menjadi kaca. Kaca kembali menjadi gelas. Gelas yang ber-NAMA baru, gelas yang ber-SIFAT baru, gelas yang ber-PERLAKUAN baru, namun masih bersumber dan berasal dari ZAT/BAHAN MENTAH yang sama.
Maka apakah kaca pernah meninggalkan gelas?
Justeru itu, Mana Kaca ?
Umpama menunjuk Kaca pada Bunga Kristal. Jika ditunjuk pada bunga, itu bukan kaca, itu bunga yang ada pada kacanya. Ditunjuk pada tangkai, itu juga bukan kaca, itu tangkai bunga kristal. Ditunjuk pada badannya, tertunjuk warna, ternampak bentuk. Bila dipegang, terasa licin, terasa kerasnya. Bila diketuk, terdengar bunyi dentingannya. Jika dihempas, ia pecah. Namun, hakikat diri kaca yang sebenarnya, masih tidak juga nampak !
Umpama kita menunjuk kepada baju. Yang ditunjuk itu baju, namun yang tertunjuk itu juga namanya kain, ditunjuk kain, yang tertunjuk itu juga namanya benang, ditunjuk benang yang tertunjuk itu juga namanya kapas, maka mana bajunya?
Kelihatannya baju itu nyata wujudnya, tapi bila ditunjuk atau bila dicari, tidak pula nampak ! Kalau tak nampak, macamana pula kita tahu baju itu ada ?
Begitulah umpamanya kaca. Bila ditunjuk ia tiada. Bila dicari, ia tidak ketemu. Namun, kalau tiada, kenapa ia kelihatan di mata? Jika tiada kenapa sifat-sifatnya dapat dirasa? Sifatnya yang dapat dialami, kerasnya yang boleh dipecahkan, tajamnya yang boleh melukakan, jernihnya yang boleh membiaskan. Jika kaca tiada, bagaimana gelas boleh ada? Apa pula asal atau bahan mentahnya gelas?
Tunjukkan mana Kaca?
Ternyata Kaca itu ADA, Kaca itu NYATA dan Kaca itu WUJUD!
Namun adanya, nyatanya dan wujudnya Kaca itu tidak dapat dicari ! Tidak dapat ditunjuk. Makin dicari makin hilang. Hilang bukan tiada, hilangnya kerana terlalu nyata !
Nyatanya kaca pada mana?
Nyatanya Kaca itu pada NAMA-Nya
Nyatanya Kaca itu pada SIFAT-Nya
Nyatanya Kaca itu pada PERLAKUAN-Nya yang dinampakkan di atas SIFAT dan Nama
Nyatanya Kaca itu pada HAKIKAT kewujudan segala Nama, pada HAKIKAT kewujudan segala Sifat, pada Hakikat kewujudan segala Perlakuan dan pada Hakikat kewujudan segala Hakikat (Zat/Bahan Mentah).
Namun NYATA NYA tidak dapat ditunjuk. Tidak dapat dicari. Tidak dapat digambarkan. Tidak dapat diumpamakan.
Namun, bila faham dan bila KENAL hakikat diri Kaca itu, segalanya :
K E L U !!
Kenal itu ertinya Makrifat !
Makrifat Kaca !
No comments:
Post a Comment